Friday, May 11, 2012

Kari Pedas Kepala Ikan

Kari pedas kepala ikan seperti yang selalu aku sediakan dengan menggunakan susu cair di campur lemon juice ganti santan bersama hirisan nenas dan lain2; di masak dengan kepala ikan jenahak seperti selalunya juga atau kepala ikan merah.

KARI PEDAS KEPALA IKAN
Bahan2nya:-
1 ketul x 2 kg kepala ikan jenahak - potong 2 belah atau kepingan
1/2 biji (600 gm) nenas - di potong 2 menegak, buang empulurnya dan hiris 1 cm atau mengikut suka
1 paket (160 gm) kiub tauhu goreng
60 gm asam jawa
2 bungkus kecil serbuk kari ikan
500 ml susu cair
1 biji (150 gm) lemon - ambil 50 ml jusnya tanpa biji 
1.25 litre air
1 sd besar garam (atau secukup rasa)
1/2 sd teh serbuk perasa
1 sd besar gula 
   
Kisar bersama:
200 gm bawang besar
15 gm (1 sd besar) lada hitam 
180 gm bawang merah
65 gm cili api (separuh di biarkan bertangkai)
40 gm cili kering - rebus dan toskan
100 gm halia
40 gm kunyit hidup
6 ulas (35 gm) bawang putih

Tumisan:
10 tangkai (10 gm) daun kari - ambil daunnya sahaja
2 batang (15 gm) kulit kayu manis
1 labu bawang besar (100 gm) - hiris nipis 
150 ml minyak masak

Sayur2an:
3 biji (350 gm) terung - dipotong 4 menegak
3 biji (450 gm) tomato - belah 4
300 gm kacang bendi - buang hujungnya 

Caranya:-
Ikan di cuci bersih dan toskan.

Asam jawa di bancuh dengan 250 air tambahan (dari baki2 bahan kisar dalam blender). Perah dan buang bijinya.

Panaskan minyak dan masukkan kulit kayu manis

Kemudian masukkan daun kari dan goreng sebentar.

Masukkan hirisan bawang dan goreng hingga bawang mula kuning.

Kemudian masukkan bahan kisar bersama garam. 

Tumis sambil selalu di kacau hingga garing.

Masukkan air asam jawa tadi.

Tumis sedikit lagi hingga naik minyak.

Masukkan serbuk kari dan perlahankan apinya.

Gaul dengan bahan tumis hingga sebati dan tumis lagi sedikit diatas api sederhana hingga garing (sentiasa di kacau).

Masukkan kepala ikan yang telah di bersihkan dan gaul bahan tumisan rata2.

Selepas itu masukkan air bersama kepingan nenas. Kacau dan biarkan mula mendidih.

Masukkan susu cair ke dalam blender bersama jus lemon. Blender sebentar dan tuang ke dalam renihan tadi.

Kacau rata dan apabila mula mendidih masukkan kiub tauhu goreng, serbuk perasa dan gula.

Renih di atas api sederhana sambil di kacau sekali sekala selama 5 minit.

Kemudian masukkan terung dan bendi. Ratakan dan biarkan mendidih 5 minit lagi.

Akhir sekali masukkan tomato dan renihkan dalam beberapa minit lagi. 

Kemudian padamkan api.

Hidangkan.

Selamat mencuba :)

Sambal Sotong Kembang

Sambal sotong kembang untuk makan malam.
Selain makan dengan nasi atau dengan nasi lemak maupun roti canai, sambal sotong ini juga sesuai untuk dihidangkan dengan lodeh / lontong semasa hari raya.

SAMBAL SOTONG KEMBANG
Bahan2nya:-
1 kg sotong kembang
200 ml minyak masak
200 ml air
50 gm asam jawa
20 gm garam
1/2 sd teh serbuk perasa
150 gm gula
1 biji (100 gm) bawang besar - di hiris bulat

Kisar:
100 gm cili kering (rebus hingga kembang dan toskan)
2 biji (150 gm) bawang besar
120 gm bawang merah (shallots)
2 ulas (15 gm) bawang putih
10 gm belacan

Caranya:
Sotong di potong kepingan 1.5 inci bersama janggutnya juga di hiris. Cuci bersih dan toskan.

Panaskan minyak dan masukkan bahan kisar bersama garam.

Tumis hingga garing sambil selalu dikacau supaya tak berkerak diatas api sederhana.

Bancuh asam jawa dengan air tadi.  Perah dan buangkan bijinya.

Masukkan ke dalam tumisan tadi.

Tumis lagi hingga garing.

Masukkan sotong.

Kemudian masukkan gula, serbuk perasa dan bawang hiris.

Gaul sehingga rata. Tutup dan biarkan 5 minit diatas api sederhana besar.

Selepas itu padamkan api.

Hidangkan.

Selamat mencuba :)

Thursday, May 10, 2012

Kerabu Pucuk Paku

Kerabu pucuk paku percubaan pertama aku dengan menggunakan kelapa goreng tumbuk selain kerang dan tauge.
Bahan2 rempah untuk kerabu ini juga aku goreng sedikit sebelum di tumbuk untuk menaikkan aromanya.

KERABU PUCUK PAKU
Bahan2nya:-
750 gm pucuk paku
1 liter air
1/2 sd teh garam
250 gm tauge segar
650 gm kerang - dicuci bersih dan toskan
200 gm kelapa parut atau 100 gm kerisik jika tiada
1 biji (anggaran 130 gm) bawang besar
4 biji limau nipis - perah jusnya sebanyak 40 ml (tanpa biji)
30 ml sos ikan
45 gm gula
60 ml santan pekat
secubit serbuk perasa (jika suka)

Bahan tumbuk:
100 gm bawang merah
4 batang (anggaran 100 gm) cili merah
15 batang (anggaran 10 gm) cili api merah
1 paket (12 gm) udang kering
1  sd besar minyak masak

Caranya:-
Kerang dikukus selama 30 minit. Kemudian ambil isinya dan simpan dalam peti sejuk sehingga di gunakan.

Masukkan kelapa parut ke dalam kuali yang kering.

Goreng (sangrai) dan kacau sentiasa di atas api yang sederhana sehingga ringan dan kemudian kacau di atas api perlahan sehingga perang.

Kemudian masukkan ke dalam batu tumbuk yang kering sewaktu masih panas.

Tumbuk hingga halus dan alihkan ke dalam mangkuk.

Pucuk paku di cuci bersih, toskan dan lurut daunnya serta ambil sedikit hujung batangnya yang lembut lebih kurang 500 gm hasilnya. Ketepikan.

Tauge juga dibersihkan serta di toskan kering dan ketepikan (tak perlu di celur).

Bawang besar di belah 2 dan di hiris kasar.

Panaskan minyak dalam kuali menggoreng kelapa tadi.

Masukkan udang kering dan goreng hingga garing.

Ketepikan dan masukkan bawang merah yang telah dikupas. Kacau hingga naik bau.

Masukkan cili api dan cili merah.

Kemudian kacau semua bahan ini di atas api besar selama 1 minit.

Kemudian terus masukkan ke dalam batu lesung yang telah di gunakan untuk menumbuk kelapa tadi.

Tumbuk bahan ini sewaktu masih panas sehingga hancur.

Masukkan air bersama garam ke dalam kuali tadi dan didihkan. Kemudian masukkan pucuk paku yang telah di siang tadi.

Kacau dan didihkan selama 1 minit.

Selepas itu angkat dan tapiskan ke dalam tapis besi sehingga sejat.

Masukkan bahan tumbuk tadi ke dalam sebuah mangkuk dan masukkan juga gula.

Kemudian masukkan serbuk perasa dan sos ikan. Kacau sebentar dan masukkan kerang bersama jus limau.

Kacau lagi kemudian masukkan kelapa tumbuk dan bawang hiris.

Selepas itu masukkan pucuk paku yang masih suam bersama santan dan tauge.

Gaul (toss) dengan menggunakan 2 sudip hingga rata. Adjust masam manisnya jika perlu.

Alihkan ke dalam pinggan dan hidangkan. 

Selamat mencuba :)


Recent Posts