Tuesday, March 6, 2012

ROTI JALA DENGAN KARI AYAM

Roti jala dengan kari ayam buat makan malam ganti nasi. Sesuai juga untuk minum petang, pagi, hidangan perayaan atau bila2 masa.

ROTI JALA DENGAN KARI AYAM 

A) KARI AYAM 
Bahan2nya:

2 kg kepingan ayam yang telah di buang kulit (cuci bersih dan toskan)
5 batang serai diketuk
700 gm kentang di belah 2
2 keping asam keping

Tumisan:
150 ml minyak masak
5 tangkai daun kari
5 kuntum bunga lawang
10 biji buah pelaga
4 batang kulit kayu manis
15 biji cengkih
25 gm bawang putih (5 ulas) - cincang kasar
80 gm halia - diketuk
25 gm cili api - di hiris kasar
50 gm kunyit hidup - diketuk dan dicincang
200 gm bawang merah - di hiris halus  

Bahan2 Lain:
50 gm serbuk cili
2 paket serbuk kari daging
1 liter air
1 sd besar garam atau secukup rasa
1 sd besar gula
1/2 sd teh serbuk perasa
500 gm (4 biji) tomato - belah 4 
400 gm (1 tin) krimer sejat (atau 1 tin susu Ideal)
250 ml (1 kotak) susu UHT Low Fat (boleh guna full cream milk jika mahu)

Caranya:
Panaskan minyak dan masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, pelaga dan bunga cengkih. Kacau hingga wangi.

Kemudian masukkan daun kari. Kacau sebentar dan tolak ke tepi dan masukkan bawang putih. Kacau hingga bawang putih menjadi kuning. Kemudian masukkan halia dan kacau hingga naik bau.

Kemudian masukkan kunyit hidup yang telah dicincang bersama cili api hiris.

Kacau bahan2 ini sehingga rata.

Masukkan hirisan bawang merah.

Gaul rata dan tumis hingga bawang menjadi kuning.

Perlahankan api dan masukkan serbuk kari dan serbuk cili.

Kacau sebati.

Masukkan ayam yang telah di campur serai, asam keping dan kentang dan ratakan bersama tumisan tadi diatas api sederhana hingga bergaul sebati.

Masukkan air, garam, gula dan serbuk perasa. Ratakan.

Apabila hampir mendidih masukkan krimer sejat dan kacau rata.

Biarkan hingga mula mendidih dan masukkan pula susu UHT

Kacau rata dan barkan mendidih sambil dikacau sekali sekala atas api sederhana hingga ayam dan kentang empuk (lebih kurang 15 minit).

Kemudian masukkan tomato dan didihkan lagi dalam 5 minit.

Selepas itu padamkan api (jika perlu simpan kari ini semalaman dalam peti sejuk kemudian baru panaskan semula sebelum dihidang supaya rasanya lebih sebati)

Isikan ke dalam mangkuk dan hidangkan.

B) ROTI JALA 
Bahan2nya:
600 gm tepung
1 sd besar baking powder
1 sd teh garam
1 penutup pewarna oren atau pewarna kuning (boleh ganti dgn 1 sd teh serbuk kunyit jika tiada)
5 biji telur (grade B)
930 gm air
150 gm mentega - di cairkan atas api kecil jgn sampai bertukar warna dan biarkan suam

Caranya:
Masukkan tepung, garam, telur dan baking powder ke dalam mangkuk. Kemudian masukkan air dan pewarna oren. Sebatikan kemudian masukkan mentega yg telah dicairkan tadi.

Masukkan adunan ke dalam blender dan kisar hingga halus. Biarkan 15 minit.

Panaskan kuali dan gris dgn sedikit mentega (proses ini cuma sekali). Kiraikan adunan tadi (gunakan api sederhana).

Apabila adunan mula sejat dan tepinya mula garing,  lipatkan 2

Kemudian lipatkan 2 lagi

Angkat dan letakkan ke dalam pinggan. Lipat sedikit tepinya.

Kemudian gulung.

Ulangi proses yang sama tanpa perlu menggris kuali lagi.

Susun gulungan roti jala ke dalam bekas. 

Hidangkan bersama kari ayam.

Cara menghidang
Masukkan beberapa keping roti jala ke dalam mangkuk  bersama ayam, kentang dan tomato.

Kemudian tuangkan kuah secukupnya dan biarkan seketika untuk menghidang cara `banjir'.

Selamat mencuba :)

Recent Posts